Free Glitter text generatorFree Glitter text generatorFree Glitter text generatorFree Glitter text generatorFree Glitter text generator
Free Glitter text generatorFree Glitter text generatorFree Glitter text generatorFree Glitter text generatorFree Glitter text generatorFree Glitter text generator

Free Glitter Text Generator

Tuesday, July 31, 2012

Dakwah Tanggungjawab Bersama...


Bercakap soal dakwah dan mengajak orang lain ke arah kebaikan sering dikaitkan dengan status. Kebanyakannya mengharapkan ustaz atau ustazah sahaja untuk melakukan amal ma'ruf dan nahi mungkar setiap masa.
Baru-baru ini, penulis berpeluang menghadiri sebuah forum yang menampilkan panelis-panelis serta moderator yang dikagumi berdasarkan pencapaian mereka di dalam bidang masing-masing.
Mereka bukanlah ustaz atau ustazah, tetapi kecintaan terhadap perjuangan Islam terpancar dari kata-kata hikmah yang dikongsikan bersama tetamu-tetamu yang hadir dalam majlis itu. Sejarah perjalanan hidup mendewasakan mereka tanpa sekelumit rasa menyerah di kala badai dan tribulasi melanda. Subhanallah!
Sesekali jiwa penulis tersentap dengan kehebatan yang telah lakukan untuk Islam, sedangkan kita seakan-akan berpeluk tubuh, merasa cukup dengan apa yang telah dilakukan buat agama Allah ini. Berpaksikan pengorbanan Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, perjuangan setiap individu Muslim tidak akan pernah mencapai tahap 'cukup','enough','thats it' atau 'kifayah'. Kelulusan ijazah dalam jurusan agama juga tiada membawa erti sekiranya ia tidak dipraktik dan diistiqamahkan dalam kehidupan seharian. Sepertimana pepatah Arab yang bermaksud: "Ilmu tanpa amal umpama pokok tanpa buah".
Siapakah Pendakwah Itu?
Tidak perlu status sebagai pendakwah bebas, seorang ibu merupakan pendakwah terhebat untuk sesebuah keluarga. Mana mungkin seorang ibu mahukan anak-anak mereka gagal atau kecewa dalam hidup mereka. Pengajaran yang diterapkan dari hari pertama kita dilahirkan terus berjalan hingga ke akhir hayat. Begitu juga bapa. Anak-anak yang 'menjadi' ini akan mempunyai aura positif dan boleh diteladani oleh masyarakat.

Ini bertepatan dengan Hadith Rasulullah Sallahu 'Alaihi Wasallam yang bermaksud:
"Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepimpinannya. Imam (Ketua Negara) adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinannya, Suami (bapa) adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinannya, Wanita pemimpin di rumah suaminya dan akan ditanya mengenai kepimpinannya, Orang Gaji adalah pemimpin kepada harta benda yang diamanahkan kepadanya dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Tiap-tiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan ditanya mengenai kepimpinan kamu"
(Hadis Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ahmad)
Berbalik kepada forum yang dihadiri penulis, ketiga-tiga ahli panel mempunyai kelebihan masing-masing dalam seruan dakwah. Salah seorang merupakan juruterbang yang telah menghasilkan puluhan buku agama yang menjadi rujukan masyarakat yang dahagakan ilmu. Dianugerahkan Allah isteri yang solehah, beliau mampu berdakwah dengan mata pena sekalipun sibuk dengan tugasan harian yang saya fikir bukan calang-calang portfolionya.
Berbeza dengan panelis kedua, beliau telah dididik oleh bapanya untuk mendalami Al-Quran secara intensif semenjak di usia 4 tahun. Segala cabaran diharungi, menongkah segala arus dan badai. Hasilnya beliau menjadi qariah yang disegani dengan kehebatannya mengalunkan ayat-ayat suci Allah. Jelas, mereka ini adalah pendakwah, khalifah Allah yang memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang maksudnya:
"Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al Quran dan yang mengajarkannya"
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Panelis ketiga pula, keinginan dan cita-cita untuk menjadi artis membawa beliau ke tahap yang membanggakan pada hari ini. Uniknya, beliau merupakan artis muslimah yang amat elok dijadikan idola buat mudi-mudi. Tidak perlu mendedahkan aurat, tidak perlu pakaian yang nipis dan menjolok mata, aura Islami memang terpancar dari keikhlasan kata-kata beliau. Dakwah disebarkan menerusi aktiviti seni yang boleh diterima oleh segenap lapisan masyarakat tanpa perlu menggadaikan martabat Syari'at dan Sunnah RasulNya.
Perkongsian pengalaman tentang kisah peribadi beliau sendiri dijadikan iktibar dan peluang untuk mendekatkan diri dengan Allah, Rabbul Jalil dan Rasulullah, Rahmat Seluruh Alam. Sebagai contoh, ziarah ke pusat penjagaan kanak-kanak yang ditinggalkan ibu bapa sendiri. Dalam keadaan sedemikian, kita terfikir, tergamaknya ibu bapa atau penjaga berkenaan melupakan 'tanggungjawab' yang diamanahkan oleh Allah. Walhal, Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam sangat kasihkan kanak-kanak dan tidak pernah menyakiti mereka.

Sebagai insan, kita wajib melihat sesuatu peristiwa dengan mata hati yang suci kerana Allah tidak pernah melupakan hambanya walau sesaat. Allah Maha Adil dan tidak pernah membebankan hamba-hambaNya. Sebagaimana FirmanNya yang bermaksud:-
"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir"
(Surah Al-Baqarah, ayat 286)
Pengertian yang amat mendalam dapat dirungkaikan daripada ayat di atas yang memberikan peluang keemasan untuk kita menjadi lebih baik atau "naik kelas". Justeru, peranan dakwah memang sentiasa terbuka buat kita tanpa ada batasannya. Gunakan setiap detik yang masih berbaki buat kita untuk memberi sebanyak-banyaknya, bukan untuk menerima sebanyak-banyaknya.
Fenomena Hari Ini
Dakwah hari ini memerlukan kreativiti dan kebijaksanaan yang tinggi. Allah telah menyatakan hal ini dalam Al-Quran yang bermaksud:
"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk"
(Surah An-Nahl, ayat 125)
Allah telah memberikan garis panduan yang perlu kita kaji secara mendalam dan mengaplikasikannya dengan berhemah supaya objektifnya tercapai tanpa sedikit kekerasan sekalipun.
Masyarakat hari ini sangat petah mengemukan hujah yang kadangkala lebih bersifat logik dan tidak menepati keperluan syariat. Ini yang paling menakutkan kerana kealpaan tentang ilmu agama boleh menyesatkan orang lain dan sebaliknya menjadi dakyah. Nauzubillah min dzalik.
Kesimpulannya, setiap Muslim merupakan pendakwah yang boleh menyebarkan Islam dengan syarat kesediaan memperbaiki diri serta mendalami ilmu yang betul perlu ada. Mempunyai kelulusan dalam bidang agama belum tentu menjadikan kita 'over qualified' dan tidak cuba mempelajarinya lagi terutamanya daripada orang lain, kerana setiap muslim itu adalah pendakwah dan wajib menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Firman Allah SWT yang bermaksud:-
"Hendaklah terdapat antara kamu segolongan yang menyeru dengan kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran. Itulah golongan yang berjaya."
(Surah Ali-Imran ayat 104)
Dan turut dirakamkan dari Rasulullah SAW, baginda bersabda yang bermaksud :-
"iapa yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya (taghyir) dengan tangan, jika tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan lidah, jika tidak mampu hendaklah dia mengubahnya dengan hati, dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman."
(Hadis Riwayat Muslim)
Ambillah iktibar daripada sikap Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang sentiasa zuhud dalam kehidupan seharian. Mendapat gelaran alim ulama bukan tiket untuk kita memperlekehkan orang lain yang jauh dari agama. Justeru, peranan setiap orang untuk menyampaikan dan berkongsi ilmu yang baik sangatlah dituntut dalam Islam.
Sebagai penulis yang masih belajar, merasakan masih banyak yang perlu dipelajari dan terus berusaha menyampaikan dakwah menerusi penulisan. Akhirul kalam, marilah sama-sama kita berdoa semoga dapat terus beristiqamah dalam perkara kebaikan.

"Ya Allah, jadikanlah kami hambaMu yang bijaksana yang diberkati olehMu ilmu yang menjadikan teguh pendirian kami dalam pengabdian padaMu dengan penuh rasa syukur atas segala ni'matMu wahai Tuhan yang amat Belas Kasih dan Penyayang".  Amin, Ya Rabbal 'Alamin. 

No comments: