Free Glitter text generatorFree Glitter text generatorFree Glitter text generatorFree Glitter text generatorFree Glitter text generator
Free Glitter text generatorFree Glitter text generatorFree Glitter text generatorFree Glitter text generatorFree Glitter text generatorFree Glitter text generator

Free Glitter Text Generator

Tuesday, July 31, 2012

Dakwah Tanggungjawab Bersama...


Bercakap soal dakwah dan mengajak orang lain ke arah kebaikan sering dikaitkan dengan status. Kebanyakannya mengharapkan ustaz atau ustazah sahaja untuk melakukan amal ma'ruf dan nahi mungkar setiap masa.
Baru-baru ini, penulis berpeluang menghadiri sebuah forum yang menampilkan panelis-panelis serta moderator yang dikagumi berdasarkan pencapaian mereka di dalam bidang masing-masing.
Mereka bukanlah ustaz atau ustazah, tetapi kecintaan terhadap perjuangan Islam terpancar dari kata-kata hikmah yang dikongsikan bersama tetamu-tetamu yang hadir dalam majlis itu. Sejarah perjalanan hidup mendewasakan mereka tanpa sekelumit rasa menyerah di kala badai dan tribulasi melanda. Subhanallah!
Sesekali jiwa penulis tersentap dengan kehebatan yang telah lakukan untuk Islam, sedangkan kita seakan-akan berpeluk tubuh, merasa cukup dengan apa yang telah dilakukan buat agama Allah ini. Berpaksikan pengorbanan Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, perjuangan setiap individu Muslim tidak akan pernah mencapai tahap 'cukup','enough','thats it' atau 'kifayah'. Kelulusan ijazah dalam jurusan agama juga tiada membawa erti sekiranya ia tidak dipraktik dan diistiqamahkan dalam kehidupan seharian. Sepertimana pepatah Arab yang bermaksud: "Ilmu tanpa amal umpama pokok tanpa buah".
Siapakah Pendakwah Itu?
Tidak perlu status sebagai pendakwah bebas, seorang ibu merupakan pendakwah terhebat untuk sesebuah keluarga. Mana mungkin seorang ibu mahukan anak-anak mereka gagal atau kecewa dalam hidup mereka. Pengajaran yang diterapkan dari hari pertama kita dilahirkan terus berjalan hingga ke akhir hayat. Begitu juga bapa. Anak-anak yang 'menjadi' ini akan mempunyai aura positif dan boleh diteladani oleh masyarakat.

Ini bertepatan dengan Hadith Rasulullah Sallahu 'Alaihi Wasallam yang bermaksud:
"Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepimpinannya. Imam (Ketua Negara) adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinannya, Suami (bapa) adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinannya, Wanita pemimpin di rumah suaminya dan akan ditanya mengenai kepimpinannya, Orang Gaji adalah pemimpin kepada harta benda yang diamanahkan kepadanya dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Tiap-tiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan ditanya mengenai kepimpinan kamu"
(Hadis Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ahmad)
Berbalik kepada forum yang dihadiri penulis, ketiga-tiga ahli panel mempunyai kelebihan masing-masing dalam seruan dakwah. Salah seorang merupakan juruterbang yang telah menghasilkan puluhan buku agama yang menjadi rujukan masyarakat yang dahagakan ilmu. Dianugerahkan Allah isteri yang solehah, beliau mampu berdakwah dengan mata pena sekalipun sibuk dengan tugasan harian yang saya fikir bukan calang-calang portfolionya.
Berbeza dengan panelis kedua, beliau telah dididik oleh bapanya untuk mendalami Al-Quran secara intensif semenjak di usia 4 tahun. Segala cabaran diharungi, menongkah segala arus dan badai. Hasilnya beliau menjadi qariah yang disegani dengan kehebatannya mengalunkan ayat-ayat suci Allah. Jelas, mereka ini adalah pendakwah, khalifah Allah yang memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang maksudnya:
"Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al Quran dan yang mengajarkannya"
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Panelis ketiga pula, keinginan dan cita-cita untuk menjadi artis membawa beliau ke tahap yang membanggakan pada hari ini. Uniknya, beliau merupakan artis muslimah yang amat elok dijadikan idola buat mudi-mudi. Tidak perlu mendedahkan aurat, tidak perlu pakaian yang nipis dan menjolok mata, aura Islami memang terpancar dari keikhlasan kata-kata beliau. Dakwah disebarkan menerusi aktiviti seni yang boleh diterima oleh segenap lapisan masyarakat tanpa perlu menggadaikan martabat Syari'at dan Sunnah RasulNya.
Perkongsian pengalaman tentang kisah peribadi beliau sendiri dijadikan iktibar dan peluang untuk mendekatkan diri dengan Allah, Rabbul Jalil dan Rasulullah, Rahmat Seluruh Alam. Sebagai contoh, ziarah ke pusat penjagaan kanak-kanak yang ditinggalkan ibu bapa sendiri. Dalam keadaan sedemikian, kita terfikir, tergamaknya ibu bapa atau penjaga berkenaan melupakan 'tanggungjawab' yang diamanahkan oleh Allah. Walhal, Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam sangat kasihkan kanak-kanak dan tidak pernah menyakiti mereka.

Sebagai insan, kita wajib melihat sesuatu peristiwa dengan mata hati yang suci kerana Allah tidak pernah melupakan hambanya walau sesaat. Allah Maha Adil dan tidak pernah membebankan hamba-hambaNya. Sebagaimana FirmanNya yang bermaksud:-
"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir"
(Surah Al-Baqarah, ayat 286)
Pengertian yang amat mendalam dapat dirungkaikan daripada ayat di atas yang memberikan peluang keemasan untuk kita menjadi lebih baik atau "naik kelas". Justeru, peranan dakwah memang sentiasa terbuka buat kita tanpa ada batasannya. Gunakan setiap detik yang masih berbaki buat kita untuk memberi sebanyak-banyaknya, bukan untuk menerima sebanyak-banyaknya.
Fenomena Hari Ini
Dakwah hari ini memerlukan kreativiti dan kebijaksanaan yang tinggi. Allah telah menyatakan hal ini dalam Al-Quran yang bermaksud:
"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk"
(Surah An-Nahl, ayat 125)
Allah telah memberikan garis panduan yang perlu kita kaji secara mendalam dan mengaplikasikannya dengan berhemah supaya objektifnya tercapai tanpa sedikit kekerasan sekalipun.
Masyarakat hari ini sangat petah mengemukan hujah yang kadangkala lebih bersifat logik dan tidak menepati keperluan syariat. Ini yang paling menakutkan kerana kealpaan tentang ilmu agama boleh menyesatkan orang lain dan sebaliknya menjadi dakyah. Nauzubillah min dzalik.
Kesimpulannya, setiap Muslim merupakan pendakwah yang boleh menyebarkan Islam dengan syarat kesediaan memperbaiki diri serta mendalami ilmu yang betul perlu ada. Mempunyai kelulusan dalam bidang agama belum tentu menjadikan kita 'over qualified' dan tidak cuba mempelajarinya lagi terutamanya daripada orang lain, kerana setiap muslim itu adalah pendakwah dan wajib menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Firman Allah SWT yang bermaksud:-
"Hendaklah terdapat antara kamu segolongan yang menyeru dengan kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran. Itulah golongan yang berjaya."
(Surah Ali-Imran ayat 104)
Dan turut dirakamkan dari Rasulullah SAW, baginda bersabda yang bermaksud :-
"iapa yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya (taghyir) dengan tangan, jika tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan lidah, jika tidak mampu hendaklah dia mengubahnya dengan hati, dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman."
(Hadis Riwayat Muslim)
Ambillah iktibar daripada sikap Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang sentiasa zuhud dalam kehidupan seharian. Mendapat gelaran alim ulama bukan tiket untuk kita memperlekehkan orang lain yang jauh dari agama. Justeru, peranan setiap orang untuk menyampaikan dan berkongsi ilmu yang baik sangatlah dituntut dalam Islam.
Sebagai penulis yang masih belajar, merasakan masih banyak yang perlu dipelajari dan terus berusaha menyampaikan dakwah menerusi penulisan. Akhirul kalam, marilah sama-sama kita berdoa semoga dapat terus beristiqamah dalam perkara kebaikan.

"Ya Allah, jadikanlah kami hambaMu yang bijaksana yang diberkati olehMu ilmu yang menjadikan teguh pendirian kami dalam pengabdian padaMu dengan penuh rasa syukur atas segala ni'matMu wahai Tuhan yang amat Belas Kasih dan Penyayang".  Amin, Ya Rabbal 'Alamin. 

Allah kan Ada!


Bila manusia berkata yang tidak baik tentang kita...
Memang kita akan terluka.
Memang kita akan terasa.
Memang kita akan sakit.
Memang kita akan merana.
Memang kita akan menderita.
Tapi, cuba fikir satu persatu.
Adakah apa yang mereka katakan itu seratus peratus benar tentang kita?
Enak sangatkah 'cerita' mereka itu sehingga orang lain akan mempercayainya membuta tuli?
Sejauh mana kebenaran dalam kata-kata yang tidak baik itu terhadap kita?
Rasa-rasa, sampai bila orang-orang sebegitu akan bertahan untuk terus dan terus memperkatakan tentang kita?
Mereka itu tiada salah ke sehingga asyik melihat salah orang lain?
Mereka itu adalah manusia. Manusia adalah hamba Allah. Tiada satu manusia pun yang sempurna melainkan Baginda SAW. Manusia ini sering diliputi dosa sama ada disedari atau tidak disedari, disengajakan atau tidak sengaja. Dan setiap manusia itu memang ada kekurangan dan kelemahan. Begitu juga dengan kelebihan.
Tapi, kekurangan itu perlu dibaiki. Kelebihan itu perlu disyukuri. Ingat sentiasa bahawa kekurangan manusia perlu kita terima. Kerana apa? Kerana kita manusia. Kita semua adalah sama. Taraf kita sama. Takkan melebihi sesiapa. Terima kekurangan itu. Jalan terbaik adalah berdiam diri. Dan doakan mereka-mereka itu. Semoga Allah melimpahi nur dan hidayahNya untuk mengupgrade kekurangan tersebut ke arah kebaikan.
Itu kisah 'mereka yang lain.' Kisah kita? Kita yang menghadapi kata-kata tidak baik itu, bagaimana pula?
Muhasabah diri semula.
Apa yang kita buat selama kita hidup ini, sebab orang-orang yang berkata itu ke?
Atau sebenarnya, kita buat sesuatu itu kerana Allah semata-mata?
Hidup kita ini berpaksikan kepada siapa sebenarnya? Allah atau manusia?
Kita ini ingin dapatkan redha Allah atau redha manusia?
Kalau kita nak berubah sesuatu ke arah kebaikan, kita perlu minta kekuatan dari Allah atau hamba Allah?
Niat kita sepanjang hidup ini adalah apa? Think deeply.
Allah yang mencipta kita. DIA yang menghidupkan roh kita. DIA yang berkuasa atas sesuatu. DIA Pemilik Kerajaan Langit dan Bumi. DIA adalah Tuhan kita. Hanya DIA yang layak disembah. Jadi, alasan apa yang kita ingin gunakan untuk melakukan sesuatu tanpa berniatkan Lillahi Ta'ala?
Inna a'malu binniat - Sesungguhnya, segalanya bergantung kepada niat. Apa yang kita lakukan hendaklah dipasang dengan niat kerana Allah. Apa-apapun, yang pertama tetap Allah.
"Kenapa perlu kecewa apabila ada orang negatif dengan kita? Apakah kita bekerja kerana mereka?" - Hilal Asyraf
Apa yang kita dapat melalui kata-kata penulis terkenal ini? Fikir, tanya hati kita sendiri. Tujukan persoalan itu terhadap diri kita sendiri. Hidup kita ini perlu sentiasa bermuhasabah. Fikir, fikir dan fikirkan sesuatu itu secara positif dan berhikmah.
Pujuklah hati. Jangan biarkan hati itu terus merana kerana kata-kata tidak baik daripada mereka. Sabarlah. Allah itu bersama orang-orang yang sabar. Setiap satu yang berlaku pasti ada hikmah. Hikmah itu rahsia DIA. Kita mencari dan menanti dengan doa. Sesungguhnya, doa itu senjata mukmin.
Ingatlah.
Kita lebih tahu siapa diri kita. Mereka tidak.
Kita lebih faham diri kita. Mereka tidak.
Kita lebih kenal diri kita. Mereka tidak.
Dan yang paling penting, Allah itu lebih memahami kita. DIA faham kita lebih daripada apa yang kita faham tentang diri kita. Jadi, perlukah kita putus asa atas rahmat Allah? Allah itu ada. Jangan sia-siakan kewujudan Tuhan Yang Maha Adil itu.
Kita hamba DIA. Serahkanlah diri padaNya. DIA Pengubat Kelemahan. DIA jugalah Pemberi Kegembiraan. Ketenangan itu ada pada DIA. Perlukah kita untuk tidak mencari?
"If Allah is your friend, who dares to be your enemy?"
Pujuklah hati kita dengan mengatakan "Allah kan ada!" ^_^
Wallahualam.

Sunday, July 8, 2012

"Bunga Agamaku Fatimah Az-Zahra"


Bunga agama secantik peribadi,
Penghulu bidadari syurga abadi,
Menghiasi mahligai Jannatul Firdausi,
Dialah Fatimah Az-zahra muslimah sejati.
Kelahiran puteri pembawa rezeki,
Kegembiraan Rasulullah Ya Hababi,
Dicinta disayang sepenuh hati,
Tanda kesyukuran buat Rabbul Izzati.
Tatkala masyarakat dilumpuri kejahatan,
Sinar Islam mantapkan iman,
Ketaqwaan hakiki benteng cubaan,
Agar menjadi hamba gemilang.
Dibibir terukir doa harian,
Jambatan beramal memburu keuntungan,
Ikhlaskan hati teguhkan iman,
Akhlak terpuji inspirasi sezaman.
" Ya Allah,
Kecilkan jiwaku jua mataku,
dan tampakkanlah ku keAgunganMU"
" Ya Allah,
Sibukkanlah ku dengan tugas yang ku pikul saat Engkau menciptakanku,
Pada hal lain janganlah Engkau sibukkan daku"
Demikian doa Fatimah rupawan,
Moga menjadi amal pedoman,
Kukuh hubungan dengan Ar-Rahman,
Pastikan jadi penghuni syurga idaman.

Nukilan "Bunga Agamaku Fatimah Az-zahra" digarap sempena pertandingan karya 'Penghulu Bidadari Syurga" sewaktu berlangsungnya Konvensyen Bidadari Dunia 2012 anjuran Iluvislam.com dan telah mendapat tempat kedua dalam pertandingan ini yang dianjurkan oleh Butik Siti Khadijah. Karya ini adalah sebagai tanda kecintaan penulis buat Rasulullah S.A.W , keluarga dan sahabat baginda. Moga Bermanfaat.

Tolong, Tolong dan Tolong!


Tolong jangan mengambil kesempatan atas kelembutan kami kaum Hawa
Tolong jangan adukan kepada kami mengenai masalah anda
Tolong jangan cuba menguji kami
Tolong jangan telefon kami jika tiada hal yang betul-betul penting dan segera
Tolong jangan mesej kami jika hanya ingin bertanya khabar
Tolong jangan mesej kami jika hanya ingin meluahkan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu perkara
Tolong jangan mesej kami jika hanya ingin bertanya "Buat apa tu?"
Tolong jangan puji kami dengan puji-pujian yang boleh membuatkan kami lalai hatta puji-pujian itu adalah kata-kata yang baik, contohnya, "Awak ni baiklah, awak ni solehahlah..."
Tolong jangan tengok kami dengan pandangan yang pelik
Tolong jangan ambil gambar kami, apatah lagi secara curi-curi
Tolong jangan tengok mata kami saat bercakap dengan kami
Tolong tegaskan suara anda ketika bercakap dengan kami
Tolong jangan biarkan kami terbuai dengan bicara yang berlarutan yang tiada arah tujunya
Kerana kami juga insan yang sangat lemah
Kerana kami juga insan yang mudah tersentuh
Kerana kami juga insan yang sukar untuk menolak permintaan orang, apatah lagi daripada kaummu wahai Adam ...kerana itu fitrah
Kerana kami juga insan yang sangat mudah untuk terleka
Kerana kami juga insan yang sangat lemah dengan puji-pujian
Kerana kami dah cuba untuk menahan pandangan
Kerana kami juga kadang-kadang lalai
Sebaliknya,
Anda boleh adukan masalah anda kepada yang sesama jantina anda
Anda boleh menghantar mesej sahaja jika perkara yang ingin diberitakan itu tidak diperlukan dengan segera dan penting serta pastikan mesej itu tidak meleret-leret!
Anda boleh bertanya khabar mereka yang sejantina dengan anda, bukankah itu lebih manis dan meningkatkan nilai ukhuwah yang dituntut?
Anda boleh meluahkan rasa tidak puas hati itu kepada yang lebih berhak (Allah), Dia akan sentiasa menjadi pendengar yang baik, bahkan insya-Allah akan memberikan jalan penyelesaian yang terbaik
Anda boleh memberi puji-pujian itu kepada yang lebih berhak (Allah) atau jika nak diluahkan kepada manusia juga, mungkin boleh diluahkan kepada ibu anda, kakak anda, adik anda, guru anda dan sahabat sejantina anda, atau nak lagi baik? Luahkan kepada isteri anda yang sah kelak. Itu yang terbaik
Bantulah kami
Kami juga mahu menjaga hati dan iman kami
Kami tahu, anda juga bukanlah malaikat yang boleh manahan segala asakan syaitan itu
Tapi, berusahalah!
Ketika kami terlupa, ingatkanlah kami dengan berhikmah
Ketika kami lupa untuk menundukkan pandangan, janganlah engkau turut sama melayannya
Tapi, tundukkanlah pandanganmu terlebih dahulu
Maka, mengertilah kami... (insya-Allah)
Ketika kami terlupa untuk menegaskan suara, janganlah Engkau turut terbawa-bawa dengannya
Tegaskanlah suaramu!
Insya-Allah hati yang ditarbiah akan menyedarinya untuk turut sama menegaskan suara
LELAKI YANG SOLEH ITU MEMIMPIN, BUKAN MELAYAN!